Nov 13, 2020 - FASSaingan Piala Malaysia 2020 menjadi mangsa terbaharu COVID-19, selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan kejohanan berprestij itu berkuatkuasa semalam.
Kemenangan menentang Melaka United minggu lalu di Stadium Hang Jebat telah melayakkan pasukan Selangor ke peringkat suku akhir saingan TM Piala Malaysia 2020.
Pasukan Gergasi Merah telah dijadualkan menentang Kedah FA di Stadium Darul Aman pada hari Jumaat ini bersamaan 13 November 2020.
Namun, berita mengejutkan menimpa industri bola sepak negara apabila semalam pihak MFL mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa saingan Piala Malaysia yang sedang berlangsung terpaksa dibatalkan serta merta mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu ditolak oleh pihak MKN, semalam.
Ia adalah berikutan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember depan ekoran pandemik Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya harus akur dengan keputusan terbaharu MKN bahawa kerajaan tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung sepanjang pelaksanaan PKPB.
"Pertama, MFL sentiasa peka dengan saranan daripada MKN. Pihak kerajaan menyarankan supaya tidak meneruskan pertandingan Piala Malaysia 2020.”
"Sudah tentu dalam surat rayuan sebelum ini MFL sudah menyediakan perancangan cukup rapi selaras dengan panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kejohanan Piala Malaysia yang masih berbaki tujuh perlawanan dapat diteruskan. Tetapi, seperti saya katakan, MFL sentiasa peka dengan saranan pihak kerajaan.”
"Justeru, MFL menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah terpaksa mengambil keputusan yang cukup berat untuk membatalkan saingan Piala Malaysia 2020 demi kesihatan dan keselamatan semua pihak seperti disarankan oleh pihak kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum pengumuman ini dibuat, pihak MKN telah mengambil keputusan untuk menangguhkan kejohanan tersebut, sebelum mengubah pendirian mereka untuk membatalkannya terus.
Perlaksaan PKPB ini menyebabkan larangan merentas negeri dikuatkuasakan selain daripada aktiviti sosial seperti aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan yang melebihi 10 orang pada masa yang sama adalah dilarang termasuk perlawanan bola sepak.
Pemangku ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewanya dengan perkembangan terbaru ini namun mahu terus memandang ke hadapan.
“Keadaan Covid-19 ini sangat sukar buat semua orang tetapi begitu juga kita yang berada dalam industri bola sepak. Saya berasa kecewa kerana pasukan Selangor sudah bersedia untuk perlawanan sukar seterusnya menentang Kedah tetapi sayangnya kejohanan Piala Malaysia terpaksa dibatalkan,” katanya.
“Para pemain telah menunjukkan prestasi yang baik dan saya sangat gembira dengan aksi mereka. Walau bagaimanapun, kita harus menerima hakikat ini dan fokus untuk musim hadapan. Saya yakin kita akan mempunyai pasukan yang lebih kuat untuk bersaing pada musim hadapan,” tambahnya lagi.
FAS mendoakan agar semua penggiat bola sepak di Malaysia, terutamanya di negeri Selangor terus tabah di waktu yang mencabar ini. Semoga kancah bola sepak Malaysia akan bersinar semula pada tahun hadapan.
Teruskan bersama faselangor.my dan media sosial kami untuk info-info bola sepak terkini mengenai Selangor FC.